Thursday, October 11, 2007

Zakat Fitrah Berkesan Basmi Kemiskinan

Abdul Rahman Haqqi

DI SAMPING kesibukan umat Islam berpuasa dengan amalan mencari habuan malam Lailatulqadar pada penghujung Ramadhan ini, satu lagi kewajipan yang hanya berlaku pada bulan mulia ini ialah zakat fitrah.

Yang kaya memikirkan kepada siapa yang akan diberikan zakat fitrahnya manakala yang miskin memikirkan bagaimana mereka boleh menerima zakat fitrah itu untuk keperluan meraikan Eidilfitri minggu depan. Kedua-dua golongan ini mengharapkan agar ibadah puasa mereka pada tahun ini diterima Allah Azza wa Jalla.

Prof. Yusuf al-Qaradawi dalam tesis PhD beliau pada 60-an bertajuk Fiqh Al-Zakat yang kemudian menjadi buku rujukan zakat semasa dan dicetak lebih daripada 30 kali, mengatakan bahawa syariat Islam sebenarnya mempunyai objektif akhlak dan pendidikan yang jelas di sebalik kewajipan membayar zakat fitrah, baik terhadap orang kaya atau orang miskin.

Objektif itu untuk melatih orang Islam menyumbang sama ada dalam keadaan senang atau susah. Dalam Al-Quran sendiri Allah menyifatkan orang bertakwa itu ialah orang yang 'menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun sempit'. (Surah Ali-‘Imran: 134) Dengan latihan berkenaan, orang Islam walau bagaimana miskin sekali pun akan bersikap suka menyumbang dan sentiasa merasai kemanisan memberi sumbangan dan mengutamakan kebajikan orang lain. (Rujuk II/930)

Penduduk Muslim di dunia dianggarkan berjumlah 1.3 bilion. Secara kasarnya, jika nisbah orang yang wajib mengeluarkan zakat fitrah di kalangan mereka 90 peratus, maka jumlah mereka ialah 1.17 bilion. Perlu dicatat di sini bahawa zakat fitrah adalah zakat badan atau diri bukan zakat harta, oleh itu jumlah yang wajib zakat adalah ramai kerana hampir semua umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah. Syarat wajib zakat fitrah adalah memiliki lebihan keperluan untuk Eidilfitri.

Secara kasarnya, jika purata kadar zakat fitrah umat Islam adalah RM5 maka wang zakat fitrah yang dikumpulkan sepanjang Ramadan ini adalah sebanyak RM5,850,000,000.00, iaitu hampir RM6 bilion.

Jumlah wang ringgit yang signifikan daripada umat yang selalu dikatakan oleh Barat sebagai bangsa yang miskin dan mundur padahal ia hanya dikumpulkan dalam masa satu bulan.

Kemudian kutipan wang zakat fitrah itu mesti diagihkan dalam sehari pada Eidilfitri di mana setiap orang yang berhak menerima zakat fitrah daripada baki jumlah seluruh umat Islam yakni 130 juta orang akan menerima RM45.

Dalam sebuah hadis maksudnya: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar daripada kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunaikan sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain maksudnya: "Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah sebagai penyucian terhadap orang berpuasa daripada perkara buruk dan tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir miskin." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Bukankah umat Islam umat yang kaya? Bukankah umat Islam umat yang berada? Bukankah umat Islam umat yang sejahtera? Bagaimanapun apa yang berlaku, mengapa umat Islam masih dikatakan umat yang miskin? Mengapa umat Islam masih dikatakan umat yang papa? Mengapa umat Islam masih dikatakan umat yang daif?

Padahal contoh kira mengira di atas adalah hanya untuk satu jenis kewajipan zakat iaitu zakat fitrah yang wajib dikeluarkan pada Ramadhan. Bagaimana dengan seluruh harta umat Islam yang wajib dizakat seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, emas dan perak, perniagaan dan lain-lain? Sudah tentu agak sukar mengiranya kecuali jika pengelolaan zakat diinstitusikan menjadi suatu badan pengelola zakat profesional yang disesuaikan dengan keperluan semasa. Itulah yang dicadangkan Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan ia sepatutnya dijadikan agenda utama umat Islam pada hari ini demi mencipta kesejahteraan di kalangan umat Islam dunia.

Pada zaman kekhilafahan Islam berabad-abad lamanya pengelolaan memungut dan mengagih zakat berada di bawah jabatan yang dikenal sebagai al-Jibayah, petugasnya disebut al-Jabi. Dalam Bab 11 kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, al-Mawardi (w. 405H) menjelaskan secara terperinci tugas dan tanggungjawab jabatan ini serta prosedur pelaksanaannya.

Beliau mengatakan bahawa apabila pengurus zakat dilantik maka pelantikannya boleh dilakukan dalam tiga cara iaitu untuk menerima zakat dan membahagikannya; untuk menerima zakat dan dilarang untuk membahagikannya; dan pelantikan tidak terikat dengan pengertian dia tidak diarah untuk membahagikannya dan tidak dilarang daripadanya.

Syarat yang harus ada dalam pelantikan pengurus zakat ialah seorang yang merdeka, Islam, adil, dan mengetahui hukum hakam zakat.

Zakat adalah wajib ke atas harta yang disimpan yang layak dimaju dan dikembangkan. Sama ada dengan sendirinya atau melalui usaha. Ia adalah penyucian kepada pemiliknya serta bantuan kepada mereka yang berhak menerimanya.

Harta zakat ini terbahagi kepada dua jenis iaitu harta zahir dan harta batin. Yang pertama disebut adalah harta yang tidak dapat disembunyikan seperti tanaman, buah-buahan dan ternakan manakala yang kedua disebut adalah harta yang boleh disembunyikan seperti emas, perak dan barang perniagaan.

Dalam hubungan ini pengurus zakat tidak berhak memungut zakat harta batin sebaliknya yang empunya harta itu berhak ke atas hartanya kecuali jika yang empunya harta itu mahu mengeluarkannya dengan secara sukarela, maka pengurus zakat menerimanya daripada mereka dan pembahagiannya adalah menjadi pertolongan kepada mereka.

Bidang tugas pengurus zakat adalah terhadap harta zahir iaitu dengan mengarah pemiliknya mengeluarkan zakat kepadanya. (Terj. hal. 192-193)

Kemiskinan adalah suatu masalah asas yang dihadapi oleh setiap masyarakat. Oleh sebab itulah, zakat diwajibkan supaya pihak negara dapat mengutip dan membahagi serta mengagihkannya. Dengan itu dapatlah dibantu mereka yang fakir dan miskin serta orang lain dengan tujuan meninggikan taraf hidup di kalangan seluruh anggota masyarakat. Ini bertujuan agar setiap anggota masyarakat itu tidak menderita disebabkan kepapaan dan kemelaratan.

Dr Al-Jammal berkata, dengan menjalankan pungutan zakat, maka negara itu berusaha menegakkan keadilan sosial dan mendekatkan jurang perbezaan di antara golongan yang berada dengan yang tidak berada. Zakat juga dipandang sebagai suatu jalan dalam membina dan menegakkan sebuah masyarakat berdasarkan kasih sayang, rasa setia kawan, dan tolong-menolong. Ini disebabkan zakat itu dapat menghilangkan rasa benci, dendam dan dengki yang memenuhi hati orang yang tidak berpunya. Dengan demikian, akan terbentuk sebuah masyarakat yang bahagia dengan keadaan anggotanya saling bantu membantu, bersaudara dan saling kukuh mengukuh serta hormat-menghormati dan kasih mengasihi. (Ensiklopedia Ekonomi Islam, I/252)

Adalah wajar diperhatikan bahawa kedudukan zakat sebagai rukun keempat Islam memberi pengertian yang mendalam sekali, terutama kepada masyarakat Islam yang mahu kembali semula maju bersama Islam. Ia menggambarkan bahawa pembahagian rezeki secara adil adalah agenda utama pembinaan Islam dalam masyarakat.

Sebagai salah satu daripada rukun Islam yang lima, zakat mempunyai latar belakang yang kuat dalam pembinaan Islam sebagai satu keseluruhan. Berdasarkan latar belakang ini, zakat boleh disifatkan secara mudah sebagai tonggak kewangan dan sosial dalam Islam. Bersama akidah dan sembahyang, ia boleh memberi gambaran yang jelas terhadap kerangka Islam yang sebenarnya walaupun belum begitu sempurna.

Bagaimanapun, sebagai asas kepada Islam ia tidak boleh terlepas daripada sifat sebagai ibadat. Dalam konteks ini, zakat adalah sebahagian daripada ibadat utama Islam, selain sembahyang, puasa, haji, jihad dan sebagainya.

Disebabkan itulah zakat tidak hanya diperkatakan oleh fuqaha dalam satu bab saja, tetapi dalam banyak bab. Ia disebut dalam bab ibadat, bab kehartaan, sosial, kebajikan, pemerintahan dan sebagainya. Ia juga membabitkan lebih daripada 40 ayat al-Quran dan lebih daripada 170 hadis dan mendapat ulasan yang meluas daripada pentafsir al-Quran dan pengulas hadis. (Lihat Mahmood Zuhdi, Pengurusan Zakat, 17)

Jika kita perhatikan ayat Al-Quran kita akan dapati bahawa berbanding dengan masalah menentukan sumber zakat, dalam masalah pengagihan zakat, Al-Quran bersikap lebih memperincikan arahan. (Baca ayat 60 surah al-Taubah). Kemungkinan berlaku penyelewengan dan penggunaan hawa nafsu dalam mengagihkan zakat lebih besar daripada kemungkinan yang sama dalam menentukan sumber dan memungut zakat daripadanya.

Dalam kebanyakan ayat Al-Quran yang menyebutkan zakat ia selalu bersama dengan mendirikan sembahyang. Ia membuktikan kepada kita betapa kedua-duanya berkaitan yang tidak boleh berjauhan bahkan dipisah-pisahkan.

Jika umat Islam di seluruh dunia banyak memberikan perhatian lebih kepada sembahyang dengan mendirikan banyak baitullah yakni masjid di merata tempat, mengapa kita juga tidak memberikan perhatian lebih kepada zakat dengan mendirikan rumah zakat yakni Baituzzakah di mana-mana agar ia mudah dicapai oleh pemberi dan penerima zakat?

Jika Al-Quran dalam menyebut kewajipan mendirikan sembahyang selalu diikuti dengan pengeluaran zakat, mengapa kita tidak ikutkan juga pembangunan Baituzzakah di setiap masjid? Masjid didirikan sebagai tempat sembahyang demi mencapai kesejahteraan akhirat, maka Baituzzakah didirikan demi mencapai kesejahteraan umat di dunia yang fana ini. Bukankah demikian? Ramadhan Karim.

®BH

No comments: