Sunday, October 14, 2007

Ziarah Ikut Tuntutan Syariah

Maznah Daud

Ganjaran Berlipat Ganda

PERGINYA Ramadhan ditangisi mereka yang bertakwa. Untuk mereka yang berjaya menjalani ibadat puasa, Allah SWT menganugerahkan hari raya supaya mereka bergembira meraikan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang bulan puasa.

Pada hari raya, umat Islam lelaki dan perempuan disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah, membanyakkan takbir dan tahmid memuja dan memuji nama Allah SWT. Budaya mulia yang selalu diamalkan ketika Aidilfitri ialah ziarah-menziarahi.

Ziarah bukan sekadar satu warisan, sebaliknya ziarah juga sebahagian daripada ibadat yang sangat besar fadilatnya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, sudah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas meriwayatkan, pada suatu hari Abu Bakar mengajak Umar menziarahi Ummu Aiman kerana Rasulullah SAW sering menziarahinya ketika hayat Baginda. Apabila melihat kedua sahabat itu datang, Ummu Aiman menangis terisak-isak. Mereka bertanya: "Apa yang menyebabkan puan menangis? Tidakkah puan tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Bukan saya tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasulullah SAW, tapi yang membuatkan saya menangis ialah wahyu yang sering turun dari langit sudah pun terhenti. Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati mereka lalu kedua-duanya turut menangis bersamanya." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat mengamalkan budaya ziarah menziarahi serta ganjaran pahala yang sangat besar disediakan Allah SWT untuk hamba-Nya yang menziarahi saudaranya.

Oleh kerana ziarah adalah satu ibadat, maka adab serta syaratnya mesti diketahui dan dipatuhi. Antara adab dan syaratnya ialah:

Betulkan niat.

Niat yang ikhlas adalah rukun pertama setiap ibadat yang dilakukan seseorang Muslim. Tanpa keikhlasan, ibadat tidak diterima.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawasanya seorang lelaki pergi menziarahi saudaranya di sebuah kampung. Allah mengutus malaikat mengekori perjalanannya. Malaikat itu menghampirinya lalu bertanya: "Saudara hendak ke mana? Lelaki itu menjawab: Menziarahi saudara saya yang tinggal di kampung ini. Malaikat bertanya lagi: Apakah saudara mengharapkan apa-apa keuntungan yang diberikannya kepada saudar. Dia menjawab: Tidak. Saya menziarahinya kerana kasihkannya kerana Allah. Malaikat berkata: Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah untuk memberitahumu sesungguhnya Allah mengasihimu sebagaimana engkau mengasihi saudaramu itu kerana-Nya." (Hadis riwayat Muslim)

Waktu yang sesuai.

Menurut Islam, rumah kediaman adalah hak seseorang yang perlu dihormati. Tuannya mempunyai kebebasan untuk menerima kunjungan tetamu atau sebaliknya.

Firman Allah SWT: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya (ahlinya); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan)." (Surah an-Nur, ayat 27)

Oleh itu sebelum berkunjung, eloklah menghubungi tuan rumah terlebih dulu bertanyakan waktu yang sesuai untuk dikunjungi.

Mulakan dengan salam.

Salam adalah doa pengunjung kepada sahabat yang dikunjung. Kemudian doa itu di balas dengan cara yang lebih baik. Lantaran itu Allah SWT menyatakan apabila kita memasuki rumah hendaklah memberi salam kepada diri sendiri. Ertinya dengan memberi salam kepada tuan rumah, kita akan memperoleh salam darinya.

Firman Allah SWT: "Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada kamu dengan cara memohon kepada Allah hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat yang menjelaskan hukum-Nya, supaya kamu memahaminya." (Surah an-Nur, ayat 61)

Rasulullah SAW mengajar cara memberi salam, iaitu dengan berkata: "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk." sebanyak tiga kali. Jika tiada jawapan, atau tidak mendapat keizinan, pengunjung hendaklah beredar dengan dada yang lapang tanpa menaruh prasangka terhadap tuan rumah.

Ketika memberi salam pengunjung tidak harus berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdirilah dengan memandang ke arah kanan atau kiri. Jika tuan rumah bertanyakan siapa yang datang, pengunjung hendaklah menyatakan nama atau gelarannya. Tidak memadai menjawab 'saya' saja.

Bersalaman.

Apabila bertemu Muslim disunatkan bersalaman atau berjabat tangan. Daripada Al-Barra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila dua orang Muslim bertemu dan berjabat tangan, diampunkan dosa kedua-duanya sebelum mereka berpisah." (Hadis riwayat Abu Daud)

Harus juga berpelukan jika sahabat atau saudara datang dari jauh.

Aisyah berkata: "Ketika Zaid bin Harithah tiba di Madinah, Rasulullah SAW berada di rumahku. Beliau datang dan mengetuk pintu rumahku. Lalu Rasulullah SAW bangun dan berjalan ke arahnya lantas memeluk dan menciumnya."

Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa bersalaman dan berpelukan hanya boleh dilakukan di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan saja.

®BH

No comments: