Wednesday, October 10, 2007

Memahami Semangat Fitrah Eidilfitri

Ibn Abdullah

Ramadhan dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam sedunia. Ramadhan Al-Mubarak adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Eidilfitri A-Mubarak meraikan kegemilangan umat Islam berjaya menempuh ujian Ramadhan yang di fardhukan keatas orang-orang Islam.

Sesuai dengan namanya, Eidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah SWT kepada seluruh umat manusia.

Fitrah dalam makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan dan kasih mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Eidilfitri adalah suatu hari di mana fitrah diraikan dan disyukuri selaras dengan landasan Islam.

Islam tidak menjadikan keperluan kepada beragama sebagai suatu yang misteri di benak manusia, permusuhan dan dendam sebagai akhlak dan undang-undang kehidupan, kemiskinan serta kemelaratan sebagai disiplin agama, mahupun kasta dan status sosial sebagai suatu sistem kemasyarakatan.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Meraikan fitrah tidak akan meninggikan kredibiliti iman seseorang sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Eidilfitri yang mulia.

Allah SWT menegaskan bahawa fitrah adalah ketetapan Allah SWT yang ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam Al-Ghazali, Ismail Raji Al-Faruqi dan Sayyed Naquib Al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Al-Quran menjelaskan fitrah itu sebagai agama Hanif, agama yang lurus, agama pertama ditakdirkan untuk dianuti seluruh manusia. Tidak hairanlah mengapa manusia mempunyai potensi yang asli terhadap nilai positif sejagat yang sememangnya didukung agama pertama ini.

Adalah amat wajar umat Islam merenung kembali sejauh manakah Eidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Eidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Eidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadhan lalu.

Kita digalak berpakaian baru dan menghias kediaman tetapi bukan untuk menunjuk-nunjuk. Ziarah menziarahi dan bermohon ma’af bukan sekadar suatu tradisi tetapi untuk memperkukuhkan silaturrahim. Begitu juga mengeluarkan Zakat Fitrah serta bersedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan juga sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan.

Daripada sudut ekstrim pula, ada antara kita memilih memulakan Puasa Sunat seawal dua Eidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah menziarahi yang digalakkan di Eidilfitri.

Sementara warga kota yang pulang ke kampung memandu kenderaan, tidak berlumba-lumba di jalan raya dan seterusnya mengubah Eidilfitri tidak menjadi hari yang ditangisi bukan dirai.

Eidilfitri adalah bukti rahmat Allah SWT kepada umat Islam. Daripada sudut sejarah, Allah SWT menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan yang mulia iaitu Eidilfitri dan Eidiladha.

Melalui perayaan ini, syiar keagungan Islam disebarkan terutama apabila takbir dan tahmid berkumandang. Eidilfitri adalah hari persaudaraan dan kegembiraan dalam suasana mentauhidkan Allah SWT, mengingati memenuhi tuntutan fitrah manusia adalah sebahagian daripada keperluan agama dan kerana itu ia perlu disyukuri.

Fitrah manusia amat cenderung kepada kesederhanaan dan tidak harmoni kepada mana-mana ekstrim sama ada yang melampau atau terkurang. Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah mengingatkan individu Muslim hakikat bahawa persaudaraan Islam menganjurkan umatnya bersifat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.

Dalam konteks ini, perkongsian bukan saja daripada sudut mata benda malah perasaan. Menunaikan zakat fitrah menyucikan jiwa si kaya daripada perasaan tamak dan bongkak, menyucikan jiwa si miskin daripada perasaan dengki dengki dan iri hati.

Menanam antara dua jiwa rasa kasih, hormat dan seterusnya menimbulkan persaudaraan serta perpaduan. Ditambah pula apabila umat Islam berduyun-duyun berhimpun mendengar khutbah yang dibacakan imam dan bersama menunaikan solat sunat hari raya.

Uniknya Islam yang menyatukan amalan duniawi dan ukhrawi di bawah naungan tauhid. Semoga Eidilfitri Al-Mubarak kali ini menginsafkan kita hakikat keistimewaan agama fitrah ini.

[Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ]

®BH

No comments: