Prof Dr Sidek Baba
Fitrah Persaudaraan
Islam adalah agama kesatuan dan jemaah. Tanda orang beriman antara lain ialah binaan asas persaudaraan. Al-Quran menekankan pentingnya jiwa berkenalan supaya wujud rasa prihatin terhadap yang lain.
Rasulullah SAW membayangkan umat Islam itu ibarat suatu binaan, antara satu dengan yang lainnya saling kukuh mengukuh.
Eidilfitri yang diraikan adalah lambang kemenangan bagi manusia untuk kembali kepada fitrah. Fitrah manusia terhadap yang lain asasnya ialah persaudaraan.
Taqwa
Allah SWT ciptakan manusia pada asasnya adalah sama. Yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah taqwanya. Taqwa menjadi landasan penting menghubungkan manusia dengan Allah SWT dan menghubungkan manusia sesama manusia.
Tradisi hubungan dengan Allah SWT dan manusia seharusnya menjadi tunjang utama membangunkan umat dan tamadun.
Antara sebab membawa kemunduran umat dan kekalahan dalam perjuangan ialah perpecahan yang wujud.
Ramadhan dilalui dan Syawal yang disambut seharusnya memberikan daya renung cukup bagi umat berfikir pentingnya kasih sayang dan persaudaraan. Yang berbeza biarlah berbeza.
Perbezaan perlu didekati dengan etika yang baik. Tetapi banyak titik persamaan yang belum digilap untuk menyuburkan persefahaman.
Lafaz Takbir
Lafaz takbir dan tahmid bukan hanya pada lidah semata tetapi amat perlu dihayati dalam kehidupan.
Lafaz takbir membesarkan Allah SWT perlu dilihat dalam konteks yang luas. Antara lain, kebesaran Allah SWT itu terlihat pada hambanya yang memiliki rasa jemaah dan kasih sayang yang tinggi hingga wujud umat bersifat sederhana, akhirnya umat contoh dan terbaik.
Ziarah
Semangat Eidilfitri membuka ruang umat Islam melakukan ziarah. Orang dari kota apabila balik ke kampung harus menjadikan ziarah terhadap keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, taulan, jiran dan golongan tidak bernasib baik sebagai agenda utama.
Erti kasih sayang dan persaudaraan ialah apabila yang muda mendekati yang tua, anak mendekati keluarga, yang senang mendekati yang susah, yang sihat mendekati yang sakit, yang berada mendekati yang miskin untuk bertanya khabar dan mencari pengertian bahawa kehidupan ini ibarat roda.
Takdir dan nasib seseorang tidak sama. Ada ketika kita sihat dan berada. Di suatu ketika nanti mungkin kita sakit dan tidak berada. Tentunya ziarah dan pengertian daripada orang lain menjadi sesuatu yang amat berharga.
Keinsafan
Ramai kalangan kita lupa akan asal usul. Mulanya kita berasal dari kampung di kalangan keluarga susah. Kita berhijrah dan mendapat kedudukan yang baik dan setengah daripada kita mula lupa akan kampung laman, terlalu individualistik dan kebendaan hingga lupa saudara mara yang susah.
Eidilfitri perlu diisi dengan keinsafan menyantuni yang susah dan tidak bernasib, saling bermaafan, bina tekad dan jiwa baru untuk menjadi umat Islam yang baik, berazam menjadi umat contoh dan akhirnya Ramadhan serta Syawal tahun depan memberi kekuatan baru melanjutkan perjuangan mengawal hawa nafsu membangun jiwa muttaqin.
Orang yang daif apabila diziarahi merasakan kehadirannya dalam hidup ini dihargai. Bayangkan apabila kita tua dan uzur nanti, tinggal terbiar dalam sunyi dan terasing, tanpa ziarah dan prihatin orang lain, begitulah perasaan orang tua dan uzur memerlukan perhatian, belaian dan bisikan dalam menghabiskan sisa hidupnya.
Bayangkan anak yatim apabila diziarahi akan merasakan kesunyiannya terisi, nasibnya diambil tahu dan perasaannya dimengerti. Cetusan ini memberi makna hebat daripada sudut kemanusiaan dan kasih sayang.
Bayangkan juga orang susah dan tidak berada, tinggal di pondok usang, diziarahi dengan rasa ramah dan kasih sayang, akan menimbulkan kesan mendalam pada diri orang yang menziarah dan yang diziarahi.
Ia memberikan kita erti sebenar Eidilfitri yang dirayakan. Kemenangan diterima ialah keupayaan menundukkan hawa nafsu sombong, takbur, tinggi diri, memandang orang miskin sebagai hina, tidak mempedulikan nasib orang lain, merasakan diri segala-gala, menghina orang kampung dan kacang lupakan kulit.
Eidilfitri memberikan kita ruang melakukan ziarah. Sebulan kita merayakannya perlu diisi dengan ziarah. Pada masa lain kita sibuk dengan kerja dan urusan sendiri. Sebulan Syawal perlu dijadikan landasan mengembalikan persaudaraan dan silaturahim, rasa berjauhan didekatkan dengan ziarah. Silap salah yang lalu mendorong rasa kemaafan diberi dan dipinta.
Mendidik Hati
Ramadhan adalah bulan mendidik hati. Syawal harus diterjemahkan dengan watak yang sudah berubah. Dendam kesumat yang ada harus dikikis. Ego yang tinggi harus ditundukkan. Jika Ramadhan dilalui, tarawih dan tadarus dilakukan, perangai tidak berubah, ia tidak memberi makna apa-apa pada diri kerana kita tidak kembali kepada fitrah.
Ramadhan adalah bulan amal yang harus diikuti dengan keinsafan bahawa sebagai manusia kita ada segala-galanya. Ada kebaikan kita lakukan dan ada keburukan yang kita buat terhadap orang lain. Syawal boleh meleraikan kita daripada sifat angkuh dan tinggi diri. Kita tunduk kepada Allah SWT dengan menahan lapar dan dahaga, kita merayakan Syawal tentu dengan niat untuk mohon keampunan kepada-Nya.
Bagaimana dosa kita sesama manusia? Ziarah memberi makna yang besar bagi kita supaya sifat maaf-memaafkan lahir dengan jiwa ikhlas dan insaf. Darinya keluarga bertambah kukuh, masyarakat menjadi teguh dan umat menjadi contoh.
Inilah kekuatan ziarah dalam membina persaudaraan di tengah kealpaan manusia untuk bersyukur terhadap rahmat dan nikmat Allah yang diberikan kepada kita. Moga Allah SWT memberikan keampunan kepada kita semua.
®BH

No comments:
Post a Comment