Showing posts with label Lee Kuan Yew. Show all posts
Showing posts with label Lee Kuan Yew. Show all posts

Sunday, January 30, 2011

Kuan Yew amal strategi bermusuh

Kuan Yew amal strategi bermusuh

Oleh Aziz Jamaludin Mohd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Gesaan agar umat Islam Singapura 'tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam' merupakan natijah kebebalan beliau yang sengaja ingin mencuri kemarahan mereka yang ta’at beragama.
“Hubungan yang tidak mesra dengan jiran sebenarnya dicipta oleh Kuan Yew sendiri. ….Dalam situasi ingin berada di hadapan dan sebagai sebuah pelabuhan yang maju, Kuan Yew menyusun strategi bermusuh….dan suka sabotaj”

PANDANGAN sinis bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terhadap umat Islam cukup jelik. Gesaan agar umat Islam Singapura 'tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam' merupakan natijah kebebalan beliau yang sengaja ingin mencuri kemarahan mereka yang ta’at beragama. Ini kerana ajaran agama itulah yang dapat mengawal dan membimbing manusia menjadi terbaik, patuh dan ta’at kepada Allah dan pencipta-Nya. 

Gesaan tersebut boleh mendorong umat Islam melakukan kejahatan yang akan membahayakan sesebuah negara itu sendiri. Seharusnya Islam sudah difahami dengan baik oleh seorang pemimpin yang pernah memimpin selama 31 tahun, yang mana sebahagian kecil penduduknya beragama Islam. Memahami sejarah perjuangan peribadinya, baik menerusi tulisan-tulisan dan kata-kata beliau, ternyata Kuan Yew masih tidak mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling banyak menyebarkan semangat toleransi, boleh hidup bersama penganut agama lain dan membangunkan negara dalam acuan yang bersifat madani, bukan seperti ajaran lain yang menganjurkan kebencian dan permusuhan sesama manusia.

Islam telah membuktikan bahawa sejak permulaan lagi, ia telah membentuk struktur masyarakat yang saling memahami, bekerjasama dan membantu. Hal ini dapat diperhatikan melalui sejarah bagaimana kepimpinan Nabi Muhammad (Sallallāhu 'alaihi wa sallam)  telah membangunkan tamadun kemasyarakatan yang terbaik dalam sejarah manusia di Madinah. Ketaatan penganut Islam berpegang kepada kalimah 'Tiada Tuhan Lain Yang Disembah Selain Allah' telah memperkuatkan kerohanian masyarakat sehingga muncul sebuah kehidupan yang beradab dan maju.

Sepanjang sejarah manusia, kejatuhan sesebuah tamadun adalah disebabkan rakyatnya telah melupakan atau menyisihkan kehidupan beragama. Tragedi yang menimpa Empayar Roman misalnya, salah satu faktornya adalah kerana terlalu menekankan falsafah materialisme dan kebebasan melampau sehinggakan agama dijadikan asas kehidupan pinggiran.

Analisis Paul Kennedy dalam bukunya yang pernah menimbulkan banyak perdebatan, The Rise and Fall of Great Power turut menyingkap bahawa agama merupakan penentu terbesar dalam mengekalkan sesebuah tamadun. Justeru, walau sehebat manapun kemajuan sesebuah negara dalam pembangunan fizikal dan kebendaan, ia hanya membangkitkan suasana kehidupan manusia yang tidak pernah puas, rakus, adu-domba dan saling berkonflik.

Kuan Yew menyelar sikap rakyat negara itu yang 'ketat pegangan agama' sebagai halangan kepada pembinaan negara bangsa Singapura bagi tempoh yang lebih lama pada masa depan. Buktinya, kerana dasar yang diamalkan oleh negara itu mengekang suara pembangkang dan menghalang politiking telah menyebabkan sebahagian mereka yang merasakan kedudukannya tertindas mula beralih kepada pematuhan beragama.

Inilah sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh Kuan Yew apabila menasihatkan generasi yang ta’at beragama supaya melenturkan pegangan agama bagi membolehkan Singapura terus kekal sebagai negara moden dan terbaik pada masa depan. Dalam hal ini, Kuan Yew sebenarnya lupa bahawa kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Singapura adalah kerana kebijaksanaannya menguruskan sumber-sumber yang diperoleh negara jiran yang dilihatnya sebagai 'kurang mesra.'

Hubungan yang tidak mesra itu sebenarnya dicipta oleh Singapura sendiri. Dalam situasi ingin berada di hadapan dan melonjakkan kedudukannya sebagai sebuah pelabuhan yang penting, Kuan Yew menyusun strategi bermusuh. Hal ini tidak dilakukan oleh pewarisnya, Lee Hsien Loong yang mengambil alih pentadbiran sejak 2004 dari Goh Chock Tong. Chock Tong menjadi Perdana Menteri sementara bagi mengikis persepsi umum mengenai pewarisan kepimpinan politik yang dilaksanakan oleh Parti Tindakan Rakyat PAP pada tahun 1999.

Berasaskan persepsi negatif itu, maka dapat dirumuskan bahawa Kuan Yew sebenarnya tidak pernah cuba memahami Islam secara mendalam. Islam hanya difahami berdasarkan sikap peribadi yang ditunjukkan oleh segelintir penganut. Pada hal dalam kehidupan manusia, Kuan Yew faham bahawa tidak semua manusia mempunyai pendapat, sikap, perangai, tingkah laku dan keperluan yang berbeza. 

Perbezaan-perbezaan tersebutlah akhirnya menjadi sebuah nilai bersama melalui ikatan sosial ataupun keagamaan. Mungkin kerana Kuan Yew menghadapi kesukaran untuk memusnahkan akidah umat Islam agar menerima apa sahaja dasar yang dilaksanakan walaupun bertentangan dengan falsafah nilai agama, maka itulah persepsi negatif itu dikembangkan. 

Nampaknya beliau sedang menghadapi konflik dalaman yang besar. Ini kerana jiwa segelintir rakyatnya yang tertekan mula melontarkan pelbagai pandangan marah, geram dan tidak sukakan dasar pemerintah. Luahan itu walaupun disekat, namun ia terus disalurkan melalui pelbagai media baru yang merunsingkan Menteri Mentor itu.

Islam tidak pernah menyuruh penganutnya menyekat kebebasan seseorang. Justeru, Allah SWT berfirman bermaksud: "Tiada paksaan dalam agama" (Surah Al-Baqarah ayat 256). Islam tetap memberikan keutamaan terhadap kebebasan individu, asalkan kebebasan itu tidak mengenepikan keyakinan terhadap keesaan Allah SWT dan melakukan perkara-perkara yang disuruh. 

Jelas sekarang, Kuan Yew sedang mengeluh mengenai 'kemungkaran' yang tidak dapat diterima oleh umat Islam yang ta’at.

Sejarah Islam ketika zaman Umayyah misalnya membuktikan Islam sebuah agama yang bertoleransi. Ketika Pope John Paul II mengunjungi Masjid Umayyah di Damsyik, beliau tetap bertafakur di hadapan makam Nabi Yahya a.s. Mengulas tindakan itu, Pope John Paul memberikan alasan bahawa setiap penganut Islam dan Kristian mestilah saling mema’afkan. 

Beliau juga berkata, penganut agama terbesar tidak perlu berkonflik, saling menyalahkan antara satu sama lain, kerana ia akan menyebabkan keharmonian, keamanan dan kedamaian hidup bermasyarakat punah. Jika Pope John Paul II boleh memberikan pandangan agar saling hidup dalam keadaan bertoleransi, maka tidak ada sebab Kuan Yew tidak boleh menerima bahawa kepatuhan penganut Islam kepada agamanya bukanlah sesuatu yang merugikan matlamat pembinaan negara bangsa. 

Kuan Yew tentu sedar bahawa kehebatan Mahatma Ghandi adalah kerana beliau tidak menimbulkan sengketa dan menambah bara konflik dalam masyarakat. Ghandi mengamalkan tindakan 'membina damai' dalam suasana orang lain berkonflik, akhirnya kaedah perjuangan nasionalismenya menjadi sebuah perjuangan yang amat berkesan sekali.
Teladan itu sebenarnya perlu dilakukan oleh Kuan Yew memandangkan beliau yang dikenali sebagai peneraju sebuah negara kecil menjadi sebuah negara besar kuasa ekonominya, agar lebih dihormati atas nasihatnya. Itulah teladan yang seharusnya dilakukan oleh Kuan Yew, bukannya membangkitkan sengketa serta rasa benci orang lain. 

Sebagai bekas pemimpin, beliau seharusnya dapat menyelami sanubari rakyat yang sekian lama tercengkam oleh dasar autokratiknya. Inilah sa’at yang sesuai untuk memulihkan semangat baru agar hidup dalam kepelbagaian yang penuh dengan toleransi dan saling memahami.

 [ Via utusan.com.my]

Friday, January 28, 2011

Pemikiran Lee Kuan Yew Telah Luput Tarikh

Ustaz Nasrudin Hassan
Sel, 25 Jan 2011 

Zaman kegemilangan Lee Kuan Yew telah berakhir apabila beliau selaku tokoh negarawan besar Asia bahkan dunia telah mula berfikir seperti pejuang militan yang rasis dan mengalami penyakit Islamophobia yang parah

Saat dunia dan seluruh tokohnya bersidang serata dunia mencari formula penyelesaian terhadap konflik yang mencetus huru hara kepada dunia serta penghuninya, saya sangat kesal dengan sikap Lee Kuan Yew yang telah menyemarakkan lagi semangat dendam kesumat dan permusuhan yang tebal terhadap Islam dan ummatnya dengan prasangka-prasangka negatif tanpa berasaskan maklumat tepat mengenai Islam yang sebenar.

Buku terbarunya Hard Truths to Keep Singapore Going menampilkan pemikiran Lee Kuan Yew yang telah luput tarikh dan zaman apabila beliau mengaitkan Islam sebagai halangan kepada untuk mewujudkan integrasi kaum dan pembangunan di negaranya.

Saya melihat zaman kegemilangan Lee Kuan Yew telah berakhir apabila beliau selaku tokoh negarawan besar Asia bahkan dunia telah mula berfikir seperti pejuang militan yang rasis dan mengalami penyakit Islamophobia yang parah. Biarpun beliau begitu lama hidup dekat dengan komuniti ummat Islam, ternyata beliau masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan ummatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.

Tokoh sebijak Lee Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai Islam yang mungkin dilihat melalui kacamata yang salah dan serong tanpa terlebih dahulu merujuk kepada tokoh tokoh ulama' Islam sebagai pihak yang berauthoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan ummatnya secara tepat dan benar.

Lee Kuan Yew selayaknya menyedari bahawa penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil dari penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam.

Justeru Islam adalah agama yang sangat toleransi kaum dan menghubungkan silaturrahim. Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami dari kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah Saiyyidina Jaafar bin Abi Talib dihadapan Raja Najasyi :

Wahai Raja, kami dahulunya orang-orang Jahiliyyah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan kekejian (zina), memutuskan ikatan kekeluargaan, jahat terhadap jiran dan orang yang kuat dari kalangan kami akan menindas orang yang lemah. kami terus dalam keadaan begitu, sehingga lah Allah membangkitkan kepada kami Rasul dari kalangan kami. Kami kenal titisan keluarganya, sifat benarnya, amanahnya dan bersihnya dari melakukan dosa.

Lalu ia mengajak kami kepada Allah, supaya mengEsakan-Nya dan menyembah-Nya, meninggalkan apa yang disembah oleh kami dan nenek moyang kami sebelum ini akan patung-patung dan berhala.

Ia menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram, dan meninggalkan pertumpahan darah. Ia melarang kami dari kekejian (zina), bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina.

Ia menyuruh kami menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan suatu yang lain. Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa....

Kenyataan diatas jelas menunjukkan bagaimana orientasi ajaran Islam. Berpegang teguh atau komited dengan ajaran ini tidak menjadikan masyarakat berpecah belah apalagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang mencetus huru hara. Sebaliknya Islam menganjurkan kebaikan dan persaudaraan.

Sayugianya Lee Kuan Yew menyeru ummat Islam berpegang tidak teguh dengan ajaran Islam yang dianuti oleh mereka agar lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera, harmonis dan membangun. Cara Lee Kuan Yew melihat Islam sebagai penghalang tidak ubah seperti musuh - musuh Islam melihat Islam dengan api dendam dan permusuhan yang berpanjangan.

Lebih ketara apabila Lee Kuan Yew turut menaruh rasa curiga yang mendalam terhadap negara jirannya seperti Malaysia dan Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang akan mengugat kedaulatan negaranya. Cara fikir dan sikap yang diambil oleh Lee Kuan Yew adalah suatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Malah ianya adalah fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi laksana gunung berapi yang aktif sedang menanti masa untuk memuntahkan lavanya.

Saya menggesa supaya Lee Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya dari tokoh Islam yang mempunyai authoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam. Jika tidak, reputasi Lee Kuan Yew akan terus menjunam dan beliau semakin tidak popular sebaliknya dunia termasuk rantau ini sedang menumpu ke arah gaya, sikap dan pemikiran pemimpin-pemimpin muda yang dilihat oleh rata-rata penganalisis politik dan sosial sebagai lebih rasional dan efektif.

(Ustaz Nasrudin Hassan merupakan graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau kini merupakan Pengarah Akademi Ar-Rasyidin yang berpusat di Kuantan, Pahang. Blog episodeperjuangan.blogspot.com menjadi medium untuk beliau menulis di alam maya.)

Thursday, January 27, 2011

Kuan Yew Takut Negara Jiran

Kuan Yew Takut Negara Jiran
oleh Syukri Sha’ari,  Utusan


Kuan Yew sebenarnya sentiasa dibelenggu oleh mentaliti hasad, penghasut…  terkepung…takut dengan negara jiran terutamanya Malaysia yang semakin pesat membangun.

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan di negara itu adalah tidak berasas.

Malah dakwaannya mengenai kewujudan kempen dari luar untuk menjatuhkan negara tersebut kerana dianggap sebagai penceroboh menggambarkan ketakutan beliau kepada negara-negara jiran yang semakin membangun.

Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, dakwaan demi dakwaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu adalah disebabkan negara tersebut sentiasa dibelenggu oleh mentaliti terkepung.

Katanya, Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari negara luar untuk mencipta satu situasi di mana rakyat berasa terancam dan bersatu padu menyokong kerajaan Singapura di dalam apa juga keadaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di dalam senario politik republik itu.

"Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari luar walaupun sebenarnya negara itu yang menjadi ancaman kepada negara-negara jiran kerana sering tidak sensitif dengan pelbagai isu membabitkan negara di sekelilingnya.

"Kuan Yew juga mempunyai pandangan skeptikal terhadap jiran seperti Malaysia dan Indonesia serta sering memandang rendah terhadap negara-negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap sebagai penceroboh selain menurut beliau terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia yang mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.

Menurut Mohamed Mustafa, dakwaan yang dibuat itu juga membuktikan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut dengan negara jiran terutamanya Malaysia yang semakin pesat membangun.

Katanya, pembangunan Malaysia menjadikan persaingan terutamanya dalam bidang membabitkan perdagangan semakin sengit dan Singapura amat bimbang mengenainya.

"Bagaimanapun Kuan Yew tidak boleh melihatnya sebagai ancaman kerana setiap negara jiran juga berhak untuk maju dan membangun seperti Singapura," jelasnya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling pula berkata, Kuan Yew sememangnya takut dengan Malaysia dan Indonesia kerana beliau pernah membuat kenyataan bimbang dengan kebangkitan rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Katanya, kenyataan tersebut keluar daripada mulut Kuan Yew sendiri pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kuan Yew sebenarnya bimbang dengan pengembangan kuasa Melayu Nusantara seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini.

"Selain itu, kebangkitan Malaysia dalam sektor perdagangan dan pelaburan telah menyebabkan Kuan Yew semakin bimbang dan menjadi faktor utama beliau menjadikan Malaysia sebagai ancaman kepada Singapura," katanya.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak perlu diberikan perhatian terlalu serius kerana beliau telah menggunakan strategi yang sama sewaktu menjadi Perdana Menteri Singapura.

"Dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak berasas. Kita boleh memberi perhatian terhadap dakwaan tersebut tetapi jangan terlalu serius.

"Ini kerana ia merupakan strategi yang digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat dan mengukuhkan penguasaan politiknya sama seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu," katanya.

[ Via Utusan.com.my ]