Showing posts with label Fahaman Wahabi. Show all posts
Showing posts with label Fahaman Wahabi. Show all posts

Saturday, November 7, 2009

Sultan Selangor Tegas Isu Tauliah Ceramah

Sultan Tegas Isu Tauliah Ceramah

SHAH ALAM - Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan pertemuan Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi di sini, petang kelmarin.

Katanya, pertemuan yang diadakan pada jam 5 petang itu membincangkan beberapa perkara berkaitan agama termasuklah isu ceramah tanpa tauliah.

“Dalam perjumpaan itu, Tuanku Sultan menitahkan pihak berkenaan (Jais) supaya memastikan sesiapa yang ingin mengajar, mendakwah atau memberi khutbah di masjid atau surau di Selangor perlu mempunyai tauliah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin amat menitikberatkan isu berkaitan isu ceramah tanpa tauliah.

“Baginda amat menitikberatkan fasal tauliah kerana ia (tauliah) adalah satu instrumen untuk memastikan setiap ceramah, khutbah serta kuliah agama yang diberikan selaras dengan tuntutan agama Islam.

“Malah, perkara itu perlu (tauliah) bagi mengelakkan ia terpesong, serta tidak dipolitikkan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Dalam pada itu katanya, baginda Sultan turut mengambil berat tentang perpaduan rakyat terutamanya umat Islam di negeri ini.

“Baginda turut bertitah supaya orang Islam perlu bersatu padu dan tidak berpecah belah serta perlu menjaga keharmonian di negeri ini dan mengingatkan supaya semua masjid di negeri itu tidak boleh dijadikan gelanggang politik yang boleh menyakitkan dan memecahbelahkan perpaduan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta Jais menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan beberapa perkara yang melibatkan ceramah tanpa tauliah.

Abdul Khalid telah mengadakan pertemuan di antara beliau dan Exco Kerajaan Negeri dengan Pengarah Jais, Datuk Khusrin Munawi kelmarin turut membincangkan mengenai penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. [Via Sinar Harian]

Friday, November 6, 2009

Fahaman Wahabi Tidak Sesat

Mashitah: Majlis Fatwa Tidak Pernah Kategorikan Fahaman Wahabi Sebagai Sesat

Khamis November 5, 2009

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah...tak sah, habislah jemaah haji kita. Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk "Pendermaan Organ dari Perspektif Islam" di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru. Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah."

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius. Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung,"
katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhatihati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat."

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

--- BERNAMA [Via mStar]