Friday, February 17, 2006

Melayu Itu Orang Yang Bijaksana


Oleh Osman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecat di mulut
Biar mati adat jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Aceh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistan semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mualaf pun beriktiraf Melayu

Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Hias kata bidal pusaka
Akar budi bersulam daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasyanya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuah lah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenali universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tetapi jika marah, tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk, telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan
Dagang lalu nasik ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan di susu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad ke-21
Masihkah tunduk tersipu-sipu
Jangan takut melanggar pantang
Jangan pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali, memegang timba
Memiliki ekonomi, mencipta budaya
Menjadi Tuan di negara merdeka

No comments: