Tuesday, July 6, 2010

Fathul Bari dibenar cabar enakmen

Fathul Bari Mat Jahya, 30, dibenarkan mencabar Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang digunakan untuk mendakwanya atas tuduhan mengajar agama tanpa tauliah, Februari lalu.


Utusan (Mahkamah): Selasa Julai 6, 2010

PUTRAJAYA 5 Julai - Anak bekas Mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya, 30, dibenarkan mencabar Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2004) yang digunakan untuk mendakwanya atas tuduhan mengajar agama tanpa tauliah, Februari lalu.

Pegawai agama sepenuh masa di Bahagian Kaunseling Pesakit, Institut Jantung Negara (IJN) itu memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak sah dan terbatal kerana melanggar perlembagaan.

Turut memohon berbuat demikian ialah seorang arkitek, Nik Amirul Faiz Nik Md. Yusof, 25, iaitu pengikutnya yang didakwa atas tuduhan bersubahat.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff memutuskan demikian setelah membenarkan permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran untuk memfailkan petisyen, atas persetujuan semua pihak.

Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen menetapkan prosiding itu didengar pada tarikh lain.

Sebelum itu, peguam Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili kedua-duanya berhujah, Perkara 74(2) dibaca bersama Item 1, Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang kesalahan jenayah bagi perbuatan mengajar 'agama' tanpa tauliah.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Datuk Ishak Sahari menarik perhatian mahkamah bahawa terdapat satu lagi saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban berhubung perkara sama tetapi daripada perspektif berbeza.

Beliau memberitahu, pemohon sepatutnya menyatakan pendirian dan membuat pilihan terhadap permohonan yang mana untuk diteruskan.

Bagaimanapun, Kamarul Hisham berhujah, walaupun wujud pertindihan, persoalan undang-undang yang akan dikemukakan itu boleh dihujahkan di Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan prosiding hari ini dan memerintahkan saman pemula di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap permohonan di Mahkamah Persekutuan dilupuskan.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Seksyen 53(1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang dipinda oleh Seksyen 3 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) (Pindaan 2004) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Secara alternatifnya, mereka memohon perisytiharan agar pendakwaan terhadap mereka di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sembilan atas tuduhan mengajar tanpa tauliah, sebagai tidak sah dan terbatal.

Sehubungan itu, mereka turut memohon perisytiharan bahawa Mahkamah Syariah Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan sesuatu kesalahan di bawah seksyen berkenaan.

[Utusan : Selasa Julai 6, 2010]

No comments: