Bongkak Sombong Tidak Ke Mana
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani,
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allah Subhanahu wa
ta’ala, dan Salam dan Selawat kepada Nabi
Muhammad.
Kesemua kelebihan yang dikurniakan oleh Allāh Subhānahu wata‘ala bukanlah asas dan punca untuk berlagak bongkak, sombong dan takbur kepada
mereka yang malang dan kurang bernasib baik.
Firman Allah Subhanahu wa ta`ala yang bermaksud:
"Dan janganlah engkau
memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah
engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka
kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri"
[Luqman, 31: 18]
Huraian
Sesungguhnya manusia dikurniakan oleh Allāh Subhānahu wata‘ala dengan rezeki dan
nikmat yang berbeza. Ada yang kaya, yang cerdik, yang sihat, yang sempurna
sifat, yang bangsawan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, ada juga yang
miskin, yang cacat, yang sakit, yang hodoh dan sebagainya. Kesemua kelebihan
yang dikurniakan oleh Allāh
Subhānahu wata‘ala
bukanlah asas dan punca untuk berlagak bongkak, sombong dan takbur kepada
mereka yang malang dan kurang bernasib baik.
Kita perlu ingat kekayaan, kecantikan,
kesihatan, kedudukan dan kepandaian adalah satu amanah yang akan dipersoalkan
di akhirat nanti. Apakah segala nikmat ini menambah amal kebajikan dan sadaqah
jariah kita kepada Allāh
Subhānahu wata‘ala?
Atau semakin banyak dosa dan maksiat yang kita lakukan sehingga tiada insan
yang mendapat manfaat daripada kurniaan Allāh Subhānahu wata‘ala tersebut?
Ayat ini yang merupakan ungkapan nasihat Luqman kepada anaknya adalah satu
amaran kepada manusia demi memperbetulkan sistem sosial dalam masyarakat Islam.
Islam mengajarkan penganutnya akan erti kasih sayang, hormat-menghormati dan
saling membantu sebagai ikatan sosial. Tanpa ikatan ini kekuatan ummah akan
goyah dan kelangsungan ummah akan musnah.
Justeru, berlainan taraf dan berbeza kedudukan
perlu difahami sebagai ujian Allāh Subhānahu wata‘ala atas nikmat yang diberi. Memandang hina orang
bawahan, merasa jijik bergaul dengan golongan tidak setaraf, merasa terganggu
dengan kehadiran orang kurang upaya dan meluat melayan orang sakit adalah
ciri-ciri sikap bongkak sombong yang ditegah oleh Islam.
Kita sewajarnya sedar kemungkinan satu hari
nanti nasib kita pula berubah daripada kaya menjadi miskin, daripada cantik
menjadi hodoh, daripada sihat menjadi cacat dan demikianlah seterusnya.
Sesungguhnya kesombongan dan ketakburan yang kita zahirkan tidak akan membawa
kita menjadi lebih hebat dan nikmat yang berkekalan. Segalanya hanyalah
pinjaman sementara dan akhirnya kita akan kembali kepada Allāh Subhānahu wata‘ala berbekalkan amal
kebajikan semata-mata.
Kesimpulan
Sikap sombong dan bongkak terhadap orang yang
kurang bernasib baik adalah sifat terkutuk dan dikeji oleh Islam. Kesyukuran
terhadap nikmat kurniaan Allāh
Subhānahu wata‘ala
wajar dizahirkan dengan sifat hormat-menghormati dan memperbanyakkan amal
kebajikan di dunia. Kesombongan dan ketakburan tidak membawa kita ke mana-mana
selain mengundang kemurkaan Allāh Subhānahu wata‘ala. Sesungguhnya Allāh Subhānahu wata‘ala menilai manusia
daripada amal perbuatan dan bukannya kehebatan zahir seperti pangkat, harta dan
rupa paras.
Orang sombong paling hina kepada Rasūlullāh (sallallahu
'alayhi wasallam) Hari Qiamat. Jabir (radiyallāhu'anhu) melaporkan bahawa
Rasūlullāh (sallallahu 'alayhi wasallam) bersabda: “Orang
tersayang dan terdekat di antara kamu kepada aku pada Hari Qiamat adalah orang
kalangan kamu yang terbaik adabnya; dan
yang paling hina antara kamu kepada aku dan jauh dari aku adalah yang sombong,
suka temberang, dan Al-Mutafaihiqun”. Para Sahabat bertanya: “Wahai
Rasūlullāh! Kami tahu mengenai sombong dan temberang, tetapi kita tidak tahu
yang Al-Mutafaihiqun”. Baginda menjawab:
"Orang-orang yang sombong takbur."
[At-Tirmidzi].
Rasūlullāh (Sallallāhu `alayhi wasallam) juga bersabda: “Sesiapa yang di dalam hatinya wujud kebanggaan seberat zarah tidak akan masuk syurga.” [HR Muslim]
Rasūlullāh (Sallallāhu `alayhi wasallam) juga bersabda: “Sesiapa yang di dalam hatinya wujud kebanggaan seberat zarah tidak akan masuk syurga.” [HR Muslim]
Wallahu’alam
[Berita Harian (Agama)
Sabtu Februari 6, 2010]
No comments:
Post a Comment