Friday, August 25, 2006

Isra' Mi'raj : Suatu Tauladan Yang Muktabar .

Isra' Mi'raj : Suatu Tauladan Yang Muktabar .

Oleh pesona Ogos 5, 2006



Pada malam 27 Rejab, tahun kesebelas kerasulan junjungan besar Nabi Muhammad saw telah berlaku satu peristiwa yang amat menakjubkan yang dapat memberi pengajaran kepada umat Islam seluruh dunia berikutan berlakunya peristiwa itu.

Israk bererti perjalanan Nabi dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palastin.

Allah swt merakamkannya dalam Surah Al-Israa’, 17:1 yang bermaksud:


“Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Baitul-Maqdis), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Mi'raj pula bererti perjalanan baginda saw dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana.



Allah menggambarkan dalam Al-Quran yang bermaksud:

“ Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratul Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. "

“Penglihatan (Muhammad) tidak berkisar daripada meyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas"

“Demi sesungguhnya baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”


(Maksud surah an-Najm, ayat 13-18)

Isra' Mi'raj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad saw pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah swt dari Masjidl Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (satu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Mekah pada malam yang sama.

Sesungguhnya peristiwa Isra' dan Mi'raj ini merupakan ujian yang paling getir dalam sejarah kenabian baginda saw. Masyarakat Arab yang sememangnya menentang baginda semakin kuat menghasut dengan menganggap Nabi saw gila dan hilang akal. Bagi mereka yang tidak kuat iman senang bersetuju dengan dakwaan Arab Quraisy. Namun bagi mereka yang berpegang kuat dengan ajaran nabi semakin kukuh kepercayaan mereka.

Mereka beranggapan, mana mungkin perjalanan yang begitu jauh (dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang memakan masa berbulan perjalanan) boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Begitu juga adalah mustahil bagi mereka untuk mempercayai berlakunya peristiwa nabi naik ke langit. Kenderaan apa yang digunakan oleh baginda? Semuanya ini tidak masuk akal dan menjadi bahan ejekan mereka terhadap Nabi saw.

Demikianlah hebatnya cabaran Nabi saw untuk menjelas serta menangkis serangan perang saraf dari pemuka-pemuka Quraisy. Semua ini dilalui oleh baginda dengan penuh tabah dan sabar.

Daripada peristiwa Isra' dan Mi'raj ini memperkukuhkan keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah swt kerana Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja di luar kemampuan pemikiran manusia untuk memikirkannya.

Banyak pengajaran yang terdapat daripada peristiwa Isra' dan Mi'raj. Semuanya menggambarkan fenomena yang pasti akan berlaku ke atas umat baginda kelak. Segala gambaran ini hakikatnya mejadi teladan kepada kita semua

Peristiwa ini dirakamkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, antaranya:

Nabi saw menemui satu kaum yang bercucuk tanam menuai hasilnya pada hari yang sama. Ini gambaran kepada mereka yang berjihad pada jalan Allah, digandakan suatu kebajikan hingga 700 kali ganda.

Baginda juga melihat satu kaum yang menghantukkan kepala mereka kepada batu yang besar sehingga pecah kepala mereka, pulih semula dan dihantuk lagi sehingga pecah. Gambaran kepada mereka yang malas dan berat menunaikan solat.

Diperlihatkan juga kepada baginda sekumpulan manusia yang perutnya besar seperti rumah. Setiap kali mereka cuba bangun mereka jatuh. Gambaran bagi mereka yang mengamalkan riba. Terdapat juga sekumpulan yang menggunting lidah mereka. Putus, pulih semula dan gunting lagi. Gambaran bagi mereka yang suka menabur fitnah.

Pengajaran besar dalam peristiwa Isra' dan Mikra' ialah perintah mengerjakan solat yang diterima oleh baginda. Ini menunjukkan betapa keistimewaan solat jika dibandingkan dengan ibadat lain. Solat merupakan amalan yang paling awal yang akan dihisab di akhirat kelak.

Banyak lagi peristiwa yang boleh dilihat daripada berlakunya Isra' dan Mi'raj. Nabi melihat pelbagai bentuk penyeksaan bagi orang yang berzina, mengumpat dan juga diberi gambaran-gambaran tertentu seperti melihat nenek tua bongkok yang menjelaskan betapa dunia ini sudah terlalu lanjut dan hampir kiamat.

Isra' dan Mi'raj juga memberi peringatan bahawa manusia akan sentiasa diperdaya oleh tipu daya syaitan dan iblis, di mana semasa Israk nabi saw dikejar oleh jin afrit untuk menghalang perjalanan nabi saw.

Demikian juga hasil daripada berlakunya peristiwa Isra' Mi'raj ini nabi saw menerima penentangan daripada sekelompok manusia yang berhati batu – tidak mahu menerima seruan Islam malah berusaha untuk menghancurkan Nabi saw dan pengikutnya.

Banyak lagi pengajaran yang dapat dikutip daripada berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sama ada peristiwa ini akan memperkuatkan iman kita kepada Allah atau sebaliknya. Jika kita memikirkan semata-mata logik dan berdasarkan fakta sains tanpa menyorot alam roh dan kekuasaan Allah SWT maka kita pasti akan ragu-ragu.

Dalam Islam tidak semestinya yang logik itu benar dan yang benar itu logik. Contoh mudah dalam Islam 6-2=0 yang menolak sama sekali fakta matematik yang sepatutnya jawapannya 4. Maknanya secara lebih jelas jika seseorang itu percaya semua rukun iman yang lain tetapi menafikan kepercayaan kepada hari Kiamat atau malaikat sudah pasti dia tidak dikatakan orang beriman. Jawapannya: Iktikadnya terbatal, dan jawapannya pasti kosong.

Justeru, sempena peristiwa besar yang jatuh dan diingati dalam bulan Rejab yang barakah seharusnya menginsafkan kita sebagai umat Islam tentang keagungan Allah dalam menentukan segala ketentuan kita sebagai hambaNya. Ini adalah penanada aras yang paling ideal kepada kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi sebagai muslim dalam membina hadhari pada abad kontemporari ini.

Jangan lupa ! sekalipun kita berusaha dan hampir kecewa, keajaiban dan karamah Allah itu sentiasa terjadi dengan kehendakNya bagi menyuluh jalan yang lurus kepada mereka yang redha menyerahkan diri bagi bergelar hamba serta taat mengerjakan perintahNya. Maha Suci Allah ! tuhan yang berada dia atas jalan yang lurus dan memberi kemenangan kepada hamba-hambanya....

Sumber : Dipetik dari Jernal Pengajian Islam, OCIS

No comments: