Wednesday, August 11, 2010

Fadilat Puasa dan Orang Berpuasa

 
Fadilat Puasa dan Orang Berpuasa
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Dengan  Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan  Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawat dan Salam keatas Muhammad Rasūllullāh.

RAMADHAN amat sinonim dengan salah satu daripada rukun Islam iaitu berpuasa.’Ibadat yang mempunyai bermacam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan keta'atan pada bulan Ramadhān.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadhan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa;

1. Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abu Hurairah (radiallāhu`anhu) sabda Nabi  (sallallāhu 'alayhi wa sallam): “Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allāh dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allāh hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam".

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadhān dan mulut orang yang berpuasa di sisi Allāh SWT di samping syaitan dibelenggu kerana kelebihan Ramadhān.

2.Imām Bukhāri, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'ad (radiallāhu`anhu) sabda Rasulullah  (sallallāhu 'alayhi wa sallam): Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. 

Al-Hafiz Ibn Hajar (Rahimallāh) menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari: Sesungguhnya dikatakan pada Syurga, tidak dikatakan bagi Syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

3.Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi  (sallallāhu 'alayhi wa sallam): Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya.

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

4. Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abu Hurairah (radiallāhu`anhu) sabda Rasulullah (sallallāhu 'alayhi wa sallam): Puasa merupakn perisai.  

Dan daripada Uthman bin Abi al-As; Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat. Ini kerana, puasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan pada ghalibnya, mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

5. Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As: Puasa merupakan perisai daripada azab Allāh.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

6. Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id (radiallāhu`anhum), Sesungguhnya Allāh berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allāh nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allāh daripada bau kasturi.

Hadis ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allāh Subhanahu wa ta’ala yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

7. Ibn Mājah dan al-Hākim meriwayatkan daripada Ibn Umar (radiallāhu`anhu) bahawa Nabi (sallallāhu 'alayhi wa sallam) bersabda: Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa’ yang tidak ditolak.

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doā’.

8. Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar (radiallāhu`anhu)katanya: Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa sekalipun diam dan tidur.

9. Ibn Mājah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi (sallallāhu 'alayhi wa sallam) bersabda: Sesungguhnya bagi Allāh ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam.

Hadis ini menunjukkan keampunan Allāh SWT kepada yang berpuasa.

10. Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abu Hurairah (radiallāhu`anhu) bahawa Nabi (sallallāhu 'alayhi wa sallam) bersabda: Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa.

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

11. Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya.

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoā’ dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadhān seperti mendapat syafa’at dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadhān al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal.

Selamat Berpuasa dan semoga diterima Allāh.

 [Via Utusan Online (Bicara Agama)]

No comments: