Tujuh Golongan Istimewa Di Sisi Allah
Zainuddin Hashim
Dengan Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala;
Selawāt dan Salām keatas junjungan Nabi Muhammad.
Terdapat Tujuh Golongan Manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allāh Subhanahu Wa Ta`ala kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka.
Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allāh Subhanahu Wa Ta`ala selaku Pencipta seluruh alam.
Allāh Subhanahu Wa Ta`ala menegaskan: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalah melampaui batas (agama)." [Surah Al-Kahfi, 18: 28]
Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.
Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud:
"Tujuh golongan dinaungi Allāh di bawah naungan-Nya pada Hari Qiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allāh; mereka itu ialah:
• Pemerintah yang adil;
• Remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya;
• Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid;
• Dua orang yang berkasih sayang kerana Allāh di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allāh;
• Orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allāh!”;
• Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya; dan
• Orang yang menyebut atau mengingat Allāh dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allāh."
[Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah].
Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allāh setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.
Bukan mudah untuk menjadi hamba Allāh yang sanggup berkorban demi Allāh dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.
Apatah lagi kepada umat Nabi Muhammad (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) masa kini yang tenggelam dalam banyak perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah gelagat dalam bulan Ramadhan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim, sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis kerana takut kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala.
Golongan yang ketujuh yang disebut oleh Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) dalam hadis di atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala hingga menitiskan air mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan), tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.
Pendekatan Al-Quran Dan Sunnah Nabi Muhammad (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) Mengenai Nilai Air Mata
Sehubungan itu, Allāh menjelaskan: "Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." [Surah Al-Isra’ ,17: 109]
Iulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allāh SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.
Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.
Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) telah bersabda: "Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allāh." [Hadis riwayat At-Tirmizi]
Sesungguhnya baginda Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allāh Subhanahu Wa Ta`ala, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.
Allāh Subhanahu Wa Ta`ala menegaskan: "Maka apakah orang-orang yang dibuka Allāh hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allāh, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata." [Surah Az-Zumar, 39:23]
Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata yang menangis kerana takut kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala diganjari dengan pahala dan menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada Allāh, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau sebaliknya.
Kesan Air Mata Positif Yang Melayakkan Masuk Syurga Allāh
Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala:
• Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allāh, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.
• Memerhati alam sekeliling ciptaan Allāh Subhanahu Wa Ta`ala bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allāh Maha Agung dalam penciptaan-Nya.
• Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.
• Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allāh.
• Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.
Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah (rahimallāh) ada menegaskan, bahawa terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu terhadap agamanya:-
• Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
• Menangis kerana rasa takut.
• Menangis kerana cinta.
• Menangis kerana gembira.
• Menangis kerana menghadapi penderitaan.
• Menangis kerana terlalu sedih.
• Menangis kerana terasa hina dan lemah.
• Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
• Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
• Menangis orang munafik - pura-pura menangis.
"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." [Surah An-Najm, 53: 43]
Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang Muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allāh Subhanahu Wa Ta`ala.
Ibadat Pada Waktu Malam
Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada orang lain.
Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam Al-Qadar, peristiwa penghijrahan baginda Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam dan Abu Bakar, Israk Mikraj dan lain-lain.
Begitulah juga dengan Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam yang merupakan hamba maksum yang dijanjikan Allāh syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allāh Subhanahu Wa Ta`ala kepadanya.
Hadis daripada Ali Said (radiallāhu`anhu) menyatakan bahawa Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam telah bersabda: “Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allāh lelaki dan perempuan” [Riwayat Abu Dawud dan Ibn Mājah].
Abdullah bin Salam (radiallāhu`anhu) menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam ialah sabdanya: “Wahai manusia berilah Salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera” [Riwayat Tarmizi].
Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan. Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. [Riwayat Abu Dawud].
Wallahu'alam
[ Via Harakah]
No comments:
Post a Comment