Thursday, January 28, 2010

Kecenderungan Menggodam Melayu

Utusan Online, 28 Januari 2010 / 12 Safar 1431

RUANGAN "Isu-isu Akhbar Cina" di halaman 10 Utusan Malaysia semalam menarik perhatian saya khususnya kerana petikan ucapan dua orang pemimpin Cina dari dua parti yang berbeza.

Petikan pertama berpunca daripada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang dilaporkan sebagai berkata: "Dalam beberapa tahun ini, DAP sangat risau terhadap tohmahan-tohmahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia yang mengeluarkan racun dan hasutan."

Daripada satu segi ucapan Lim Kit Siang ini tidak semestinya menghairankan kerana lidahnya memang sentiasa celupar menuduh Utusan Malaysia sebagai "rasis."

Sememangnya kecenderungan yang sangat ketara di kalangan suku sakat Kit Siang sejak akhir-akhir ini ialah menuduh sesiapa sahaja yang memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu sebagai "rasis."

Dan kali ini, tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia, 24 Januari yang lalu dituduhnya sebagai "mengeluarkan racun dan hasutan."

Sehubungan itu saya teringat satu bidalan Melayu dalam bentuk pantun dua kerat: "Kaki dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih."

Tentu kita tidak lupa bahawa beberapa orang pengikut atau rakan Kit Siang dalam DAP telah dilaporkan kepada polis kerana tindakan atau ucapan yang bersifat menghasut atau seditious.

Petikan kedua berpunca daripada kenyataan Ketua Pemuda MCA yang juga menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Kah Siong yang dilaporkan sebagai berkata: "Kementerian Pelajaran adalah kubu terakhir orang Melayu."

Daripada satu segi, ucapan Kah Siong ini boleh diertikan bahawa "benteng-benteng Melayu yang lain semuanya sudah roboh." Secara tersirat seakan-akan dia mahu supaya semua benteng Melayu "dirobohkan."

Kedua-dua ucapan itu saya anggap sebagai contoh mutakhir tindakan Malay bashing (menggodam dan mengutuk Melayu) yang secara berkias ditafsirkan oleh Awang Selamat sebagai sebahagian daripada satu agenda yang lebih besar (grand design).

Dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan hari Ahad yang lalu, Awang Selamat telah mempersoalkan dakwaan sesetengah pihak kononnya DAP kini telah mulai mendapat sokongan Melayu.

Sebagai reaksi terhadap tulisan Awang Selamat itu, Kit Siang telah mengeluarkan satu kenyataan yang kemudian disiarkan oleh tiga akhbar Cina: China Press, Nanyang Siang Pao dan Sinchew Jit Poh.

Jika diteliti lebih dalam, tulisan Awang Selamat itu yang sebenarnya adalah perkara biasa yang sudah menjadi pengetahuan umum. Tetapi kerana tersiar dalam Utusan Malaysia, ia dibesar-besarkan.

Jika kenyataan Kit Siang dapat dianggap ibarat "kaki dulang paku serpih", maka kenyataan Kah Siong, saya anggap sebagai perbuatan "menggunting dalam lipatan, telunjuk lurus kelingking berkait."

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

No comments: