Wednesday, July 15, 2009

Berpakaian Cantik Untuk Mengadap Allah.

Berpakaian Cantik Untuk Mengadap Allah.

Dengan  Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan  Kesyukuran hanya kepada Allah; Selawat dan Salam keatas Muhammad
Rasullullah.

Mengenai pentingnya berpakaian cantik apabila seseorang hendak ketempat ibadat .

Allah SWT telah menyatakan:

 “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.

[Al-A’raf, 7:31]

Pakailah pakaian yang cantik dan bersih untuk pergi ke masjid atau ketika sembahyang sunat bersendirian di rumah. Dalam hadith disebut “Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya”. Oleh itu pakailah pakaian yang cantik dan bersih untuk menghadap Allah, Raja kepada segala Raja. Imam Abu Hanifah memakai minyak attar (wangi) dan berserban setiap kali beliau sembahyang tahajjud.

Sekiranya diberi rezeki yang lebih, belanjalah untuk membeli pakaian dan makanan yang baik sebagai tanda untuk menunjukkan bahawa Allah telah memberi nikmat kepada kita. Ia sebagai memperakui kurniaan Allah dan bukannya untuk menunjukkan kesombongan. Janganlah terlalu bakhil untuk berbelanja setelah diberikan rezeki yang banyak.

Rasulullah (sallallāhu `alayhi wa sallam) bersabda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.”

 [Hadis riwayat Ibn Majah]

Namun janganlah membazir dalam berbelanja. Syaitan membazirkan kuasanya, iaitu digunakan kuasanya pada tempat yang salah, untuk menyesatkan manusia. Kerana itulah siapa yang membazir (termasuk harta) adalah saudara syaitan:

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”

 [Al-Israa’, 17:27]

Nikmat di dunia ini diberi kepada semua samada beriman atau kafir, asalkan mereka berusaha dan mempunyai sebab untuk mendapatkannya (kerana itu ia dipanggil alam asbab). Nikmat di hari kiamat pula hanya untuk orang beriman, kerana kafir telah diberikan segalanya semasa di dunia ini.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui”

[Al-A’raf, 17:32]

 
[Petikan dari Nasbun Nurain;Tafsir Quran (sepintas lalu), Mei 22, 2009]

No comments: