"Isra’ Dan Mi’raj: Peringatan Kepada manusia”
Dengan Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawat dan Salam keatas Muhammad Rasulullah.
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawat dan Salam keatas Muhammad Rasulullah.
Muslimin yang dirahmati Allāh Subhanahu wa ta’ala,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala dan memperbanyakkan selawat serta berusaha melaksanakan segala Sunnah Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam). Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfa’at kepada kita di dunia dan di akhirat.
Bulan Rejab memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad (Sallallāhu 'alaihi wa sallam); satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap terhadap Risalah Kenabian Baginda Rasūlullāh (Sallallāhu 'alaihi wa sallam).
Allāh Subhanahu wa ta’ala telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) melalui Peristiwa Isra’ dan mi’raj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang di alami oleh Baginda dalam usahanya menyampaikan Risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika Baginda telah di pulaukan oleh kaumnya, Baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang di sayanginya, bahkan Baginda juga telah di cederakan dan di lukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allāh Subhanahu wa ta’ala kepada Baginda melalui Peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Isra’ dan mi’raj merupakan satu perjalanan yang telah mempertemukan Baginda dengan Para Anbia' di sepanjang perjalanannya sehinggalah akhirnya Baginda telah di perkenankan bertemu dengan Allāh Subhanahu wa ta’ala untuk menerima kefardhuan solāt lima waktu sehari semalam. Selain daripada itu Isra’ dan Mi’raj ini juga telah memaparkan banyak peristiwa kepada kita tentang gambaran nikmat dan azab kehidupan selepas kematian; gambaran nikmat orang-orang yang beriman dan gambaran balasan azab yang dirasai oleh orang-orang yang ingkar dan berbuat maksiat kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala. Ke semua ini telah di pertontonkan kepada Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) dan telah diperjelaskan oleh Malaikat Jibril a.s. yang mengiringi perjalanan Isra’ dan mi’raj Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam).
Antara gambaran azab siksaan yang telah di pertontonkan kepada Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) di sepanjang pengembaraan Malam Isra’ dan Mi’raj ialah;
1- Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
2- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
3- Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
4- Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
5- Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
6- Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.
Selain daripada gambaran-gambaran yang telah disebutkan, terdapat banyak lagi peristiwa yang telah di pertontonkan kepada Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) pada malam tersebut. Ada peristiwa yang baik dan tidak kurang pula peristiwa yang amat menakutkan.
Sesungguhnya peristiwa yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) pada Malam Isra’ dan mi’raj sebenarnya adalah sebagai peringatan kepada umat Islam agar menghindarkan diri mereka daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allāh Subhanahu wa ta’ala dan juga rasul-Nya.
Sebagai seorang hamba, kita sewajarnya merasa takut dengan ancaman ancaman yang telah ditunjukkkan lantas menjadikan kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala. Sekalipun kita tidak pernah diberikan peluang untuk melihat sendiri peristiwa-peristiwa tersebut, namun sewajarnya kita meyakini bahawa setiap perkara yang di khabarkan oleh Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) adalah benar ke semuanya.
Muslimin yang dirahmati Allāh Subhanahu wa ta’ala,
Apa yang berlaku pada sebahagian masyarakat kita hari ini seolah-olah tidak mengambil peduli dengan peringatan-peringatan daripada Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Sebilangan masyarakat Islam kini sudah merasa selesa walaupun sering meninggalkan solat yang telah di fardhukan ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula sentiasa sibuk dengan urusan-urusan perniagaan dan urusan urusan kerja ketika mana umat Islam yang lain sentiasa patuh mengerjakan tuntutan solat.
Firman Allāh Subhanahu wa ta’ala: "Maka datanglah sesudah mereka, keturunan-keturunan yang melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka mereka bakal menghadapi azab (di dalam neraka)". [Surah Maryam,19: 59]
Muslimin yang dirahmati Allāh SWT,
Pada hari ini semakin berleluasanya perbuatan maksiat yang berlaku dalam masyarakat kita, malah sukar untuk dibendung. Perbuatan zina, pelacuran, rogol dan lain-lain lagi telah acap kali didedahkan dalam akhbarakhbar.
Perbuatan-perbuatan terkutuk ini yang melibatkan umat Islam baik yang muda mahupun yang tua, baik yang telah bersuami isteri apatah lagi yang muda remaja. Kenapakah mereka sanggup meratah daging yang busuk dan menjijikkan selama-lamanya di hari akhirat kelak hanya untuk memuaskan keinginan nafsu yang sementara di dunia ini?.
Apa yang nyata, orang-orang seperti ini sebenarnya tidak pernah mengambil peduli tentang segala bentu kancaman yang datang daripada Allāh Subhanahu wa ta’ala disebabkan nafsu serakah yang telah menguasai diri mereka.
Firman Allāh Subhanahu wa ta’ala: "Sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allāh), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti ke Esaan Allāh) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dannasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai". [Surah Al-A'rāf,7: 179]
Muslimin yang dirahmati Allāh Subhanahu wa ta’ala,
Salah satu daripada sifat mazmumah yang wujud di dalam diri manusia ialah sifat hasad dan dengki. Sifat mazmumah ini wujud kerana sikap manusia itu sendiri yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang telah dimilikinya dan merasa irihati dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Akibatnya berlakulah perbuatan umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah, caci-mencaci dan seumpamanya. Oleh kerana itulah Allāh Subhanahu wa ta’ala telah memberikan peringatan lebih awal dengan menyediakan azab siksaan yang berlipat kali ganda banyaknya sebagaimana yang telah ditunjukkan di dalam Peristiwa Isra’ dan mi’raj.
Dalam hal yang sama, Allāh Subhanahu wa ta’ala juga telah memberi peringatan melalui Firman-Nya: "Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan-Nya (atau perbuatan yang dilakukan-Nya) melainkan ada di sisi-Nya Malaikat Pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)". [Surah Qāf,50: 18]
Perbuatan mengumpat dan memfitnah ini sebenarnya memberikan kesanyang sangat buruk kepada penyatuan umat Islam. Masyarakat boleh menjadi kucar-kacir, berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan oleh Lidah Yang Tidak Bertulang. Di dalam zaman yang serba moden pada hari ini, perbuatan mengumpat dan memfitnah bukan sahaja berlaku melalui lidah manusia, bahkan ianya juga berlaku secara berleluasa melalui penulisan samaada di dalam akhbar, majalah, bahkan juga melalui sebaran internet. Ruangan ruangan komentar, forum dan sebagainya dijadikan sebagai medan untuk melepaskan perasaan geram dan dendam yang terbuku di dalam hati. Tanpa kita sedari, perbuatan-perbuatan seperti ini sebenarnya telah mengembang biakkan lagi sifat hasad-dengki di kalangan sesama umat manusia .Perbuatan seperti ini mestilah dibendung sebelum ianya menjadi barah yang akan membinasakan keharmonian hidup manusia. Mereka harus dididik dan diberikan kesedaran serta peringatan tentang ancaman-ancaman Allāh Subhanahu wa ta’ala ke atas mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan keji ini. Mudah-mudahan dengan peringatan ini, manusia akan kembali menginsafi kesilapan mereka dan mengubah tatacara kehidupan ke arah yang diredhai oleh Allāh Subhanahu wa Ta’ala.
Muslimin yang dirahmati Allāh Subhanahu wa ta’ala,
Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allāh Subhanahu wa ta’ala itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walau apapun maksud dan tujuan tersebut, kita yakin bahawa ke semuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaannya dengan apa yang telah digambarkan dalam Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Sesungguhnya apa yang telah ditunjukkan oleh Allāh Subhanahu wa ta’ala kepada Baginda Rasulullah (Sallallāhu 'alaihi wa sallam) dan umatnya ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki diri pada setiap masa sebelum tibanya hari yang telah dijanjikan oleh Allāh Subhanahu wa ta’ala; hari yang tiada manfa’at baginya harta dan juga anak-pinak; hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allāh Subhanahu wa ta’ala, iaitu hari perhitungan di Padang Mahsyar.
Allāh Subhanahu wa ta’ala berfirman maksudnya: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak –pinak) orang yang datang menghadap Allāh dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit nifaq)". (Asy-Syu'arā, 26 : 88 - 89).
Ya Allāh, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allāh, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Wallahu’alam,
[ Via Jabatan Agama Islam Selangor (Khutbah Juma'at 1 Julai 2011)]
1 comment:
Salam pengenalan.. terima kasih kerana berkongi di ruang ini..
Post a Comment