Wajibkah Juma’at Pada Hari Raya?
Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Juma’at maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Juma’at?
Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:
Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Juma’at untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam.
Ini berdasarkan hadis Nabi (Sallallāhu `Alayhi Wa Sallam) ketika hariraya berlaku pada Hari Juma'at :
“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Juma’at (tidak wajib Juma’at), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Juma’at”
(Riwayat Abu Dawud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).
Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Juma’at setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zuhur. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zuhur juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Juma’at yang diwajibkan adalah Solat Juma’at, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zuhur ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Juma’at pada hariraya itu “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zuhur. Adapun imam hendaklah menunaikan Juma’at untuk mereka yang hendak menunaikan Juma’at, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Juma’at.
Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Juma’at bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Juma’at.
[Disiarkan Minda Tajdid pada Nov 25, 2009 dalam kategori Ibadah]
No comments:
Post a Comment