Sunday, November 23, 2008

Memahami Erti Sebenar Menutup Awrat

Memahami Erti Sebenar Menutup Awrat
Oleh Masmawi Abdulāh
Dengan  Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan  Kesyukuran hanya kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala;Selawat dan Salam keatas junjungan Nabi  Muha
mmad  


Dengan Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh Subhanahu wa ta’ala; Selawat dan Salam keatas junjungan Nabi Muhammad

WANITA zaman pasca moden ini, pakaian dan cara berpakaian sebahagian wanita sekarang gagal mencapai matlamat menutup awrat seperti dituntut Islām. Pakaian mereka hanya berjaya menutup kulit badan, tetapi masih tetap mempamerkan kecantikan dan keistimewaan bentuk serta susuk hingga boleh dikatakan, sama ada mereka berpakaian atau tidak, sama saja.

Tetapi itulah hakikatnya, mereka terbabit dengan amalan tabarruj iaitu perbuatan mendedahkan kecantikan rupa paras, sama ada kecantikan itu di bahagian muka atau anggota badan lain. Menurut Al-Bakhari, tabarruj ialah wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.

Ketara sekali mereka yang berkenaan khususnya wanita yang mengakui Muslimat, tetapi sukar dikategorikan sebagai Mu’minat, terlalu ingin memperagakan kecantikan diri atau keistimewaan sifat fizikal kewanitaan mereka.

Mereka berpakaian untuk menambahkan kecantikan, bukan untuk menutup awrat. Di samping itu, mereka bersolek dan menggayakan gerak serta lagak yang menarik ketika berada di luar rumah, sedangkan tidak demikian apabila berada di rumah.

Untuk mendapat perhatian orang ramai itulah mereka menghiasi diri dengan pakaian fesyen baru yang mengikut aliran semasa, indah serta mahal, diserikan dengan barang kemas mewah bergemerlapan, manakala wajah disolek bahan mekap berwarna-warni.

Pakaian mereka tidak berfungsi sebagai penutup awrat lagi, bukan untuk melindungi kecantikan daripada pandangan lelaki bukan mahram, sebaliknya mendedahkan habis-habisan. Sedangkan amalan itu ditegah.

Allāh Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang bermaksud:

"Dan hendaklah kalian (wanita Islam) tetap di rumah kalian berhias (bersolek) dan mendedahkannya (bertabarruj) seperti mereka lakukan oleh orang-orang jahiliah dulu." 

[Surah al Ahzab, 33: 33]

Selain terbabit amalan tabarruj, tradisi berpakaian dan bersolek kalangan wanita moden sekarang membuktikan umat manusia akhir zaman terutama wanitanya, sudah jauh berundur ke belakang untuk kembali ke zaman kuno dan mewarisi cara hidup kolot manusia primitif zaman batu, atau setidak-tidaknya mengamalkan cara hidup zaman jahiliah.

Hal ini jelas sekali kerana bukankah amalan menghiasi muka dengan tempelan bahan mekap pelbagai warna yang dilakukan wanita moden sekarang sama dengan amalan menconteng muka yang dilakukan manusia primitif zaman kuno dulu?

Bukankah amalan mendedahkan awrat depan khalayak ramai yang dilakukan wanita moden ini adalah amalan wanita zaman jahiliah. Tidakkah ini satu kesinambungan antara tradisi zaman jahiliah dan tradisi zaman pasca moden ini?

Memang berlaku perubahan positif dalam hal berpakaian untuk menutup aurat di kalangan wanita Islam di negara kita dalam dekad mutakhir ini. Tetapi malangnya, perubahan itu tidak menyeluruh kerana masih ramai yang tetap dengan tradisi berpakaian mereka.

Jika ada yang memenuhi kewajipan menutup awrat, tidak memenuhi tuntutan mengikut kehendak hukum syarak. Contohnya, memang sudah ramai wanita memakai tudung tetapi pada masa sama, memakai baju dan kain atau seluar ketat yang jelas memperlihatkan bahagian tertentu badan mereka.

Berpakaian seperti itu sudah tentu tidak diterima sebagai menutup awrat, kerana menutup awrat dalam Islam bukan sekadar menutup kulit badan, tetapi melindungi rupa bentuk kulit semua bahagian anggota badan.

Allāh Subhanahu wa Ta`ala  berfirman yang bermaksud:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka,atau anak-anak mereka,atau anak-anak tirir mereka,atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan,atau perempuan-perempuan islam,atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allāh, wahai orang-orang yang beriman, suapaya kamu berjaya".

[ Surah An-Nur, 24:31].

Maksud ayat itu sangat jelas, namun seolah-olah belum dapat difahami wanita. Buktinya mereka tidak mematuhi arahan menutup awrat itu sepenuhnya. Malah, ramai yang langsung tidak menghiraukannya.

Mereka sebenarnya mempersendakan hukum Allāh Subhanahu wa Ta`ala apabila menutup kepala dan rambut sepenuhnya tetapi masih memperlihatkan bentuk anggota badan dalam pakaian yang ketat sendat atau mendedahkan bahagian anggota lain seperti kedua belah betis apabila memakai seluar, skirt atau sarung sempit yang berbelah di bawah.

Masih ramai lagi wanita yang enggan memakai tudung kepala, atau hanya menutup kepala dengan kelubung kecil, menampakkan bahagian depan dan ekor rambut. Ia juga adalah perbuatan yang boleh dianggap sebagai mempersendakan hukum Allāh Subhanahu wa Ta`ala.

Demikian juga dengan amalan memakai tudung kepala pelbagai bentuk dan fesyen. Walaupun mereka berjaya menutup kepala dan rambut, namun masih mendedahkan tengkuk, leher serta sebahagian dada atau memperlihatkan bentuk dada dalam baju yang ketat.

Semua fenomena mendedahkan aurat itu adalah ciri amalan tabarruj, amalan kaum zaman jahiliah. Selain tradisi berpakaian, tradisi bersolek yang termasuk dalam amalan tabarruj kurang diberi perhatian. Seolah-olah larangan dalam hal ini tidak diketahui.

Keadaan wanita yang tidak terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang tidak keluar rumah, tidak bercampur-gaul dengan lelaki bukan muhrim dan apabila keluar, tetap memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya dan wajah mereka tanpa bersolek.

Golongan terbabit dengan tabarruj ialah wanita yang keluar rumah dengan berpakaian tidak sopan atau berpakaian ala Barat, mendedahkan banyak bahagian aurat atau berpakaian sopan tetapi tidak menutup aurat sepenuhnya atau berpakaian moden, ketat, singkat dan berbelah.

Allāh mengetahui akibat baik dan buruk daripada segala tindak-tanduk hamba-Nya, termasuk akibat buruk daripada pendedahan awrat atau perlakuan tabarruj itu. Sehubungan itu, Allāh mewajibkan wanita menutup awrat mereka.

Firman Allāh Subhanahu wa Ta`ala bermaksud:

"Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allāh adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 

[Surah al-Ahzab, 33: 59]

Rasūlullāh (Sallallahu 'alaihi wassallam) bersabda:

"Sebaik-baik perempuan-perempuan kamu yang penyayang, subur, selesa, dan saling bersetuju - jika mereka takut pada Allāh. Perempuan-perempuan kamu yang paling jahat adalah orang-orang yang mendedahkan dan memaparkan diri (awrat) mereka, dan orang-orang yang berhentak kaki (untuk menunjuk-nunjuk), dan mereka adalah orang-orang munafik. Mereka yang masuk syurga adalah seperti burung gagak berparuh merah (ia-itu jarang terdapat)."

[Al-Baihaqi]

Rasūlullāh (Sallāllahu 'alaihi wassallam) juga telah bersabda:

"Dan di antara manusia neraka, terdapat dua jenis yang aku tidak pernah melihat, yang pertama adalah orang-orang yang memegang cambuk seperti ekor lembu yang mereka mencambuk orang. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun yang berpakaian (iaitu sama ada berpakaian remeh-temeh atau memakai pakaian jarang), yang derhaka dan yang menggoda orang lain. Rambut mereka adalah tinggi seperti bonggol unta yang. Wanita-wanita ini tidak akan masuk syurga, dan mereka tidak akan bau wangiannya, walaupun wangi boleh berbau dari itu dan jarak (sangat jauh). "

[Muslim]

Wallahu'alam


[Via BH]

1 comment:

Anonymous said...

Apabila umat islam tidak memahami hukum islam sebagaimana yg dituntut oleh Allah maka sudah sampai masanya pihak berwajib mengeluarkan garis panduan yang wajib diikuti oleh semua umat islam. Apabila garis panduan ini tidak diikuti maka adalah wajib dikenakan hukuman setimpal supaya hukum2 Allah tidak dipermainkan dengan sewenang2nya.

Ini adalah satu tanggungjawab dan tindakan berani perlu diambil sebelum Allah mendatangkan azab atau musibah yang akan menimpa semua masyarakat islam tanpa ada yang terkecuali.